Followers

Monday, November 19, 2012



MESIN AYAM GOLEK BERKUALITI

ADA DALAM PERLBAGAI SAIZ
* SAIZ A 40 EKOR = RM3800
* SAIZ B 30 EKOR = RM3000
* SAIZ C 25 EKOR = RM2500
 PENGHANTARAN SELURUH MALAYSIA DENGAN KOS MINIMA.
RESEPI DAN TUNJUK AJAR PERCUMA UNTUK YANG BARU NAK MULA BERNIAGA.
BOLEH MENJANA PENDAPATAN KELUARGA RM100 - RM500 SEHARI.
SESUAI UNTUK ANAK MUDA YANG TIDAK ADA KERJA. BELAJAR BERNIAGA SENDIRI.
HUBUNGI PAK ISHAK UNTUK KETERANGAN LANJUT : 0177124269  

Tuesday, December 20, 2011

BERITA TERKINI RESTORAN CIKGU

Gazebo bumbung dua lapis sedang dalam pembinaan di tapak restoran cikgu. Minggu lepas ada sepasang suami-isteri singgah dan bertanya kepada cikgu, berapa harga sebuah gazebo seperti itu, mereka bercadang nak beli. Terlintas juga dalam hati cikgu nak jual sebab untuknya 'lebat' tetapi anak cikgu melarang. Katanya, kalau asyik jual gazebo yang ada, sampai kiamat pun restoran tak siap. Betullah juga.... 

Sebuah pondok dua tingkat yang cikgu lihat di sebuah restoran ikan bakar di Pulau Pinang. Memang unik dan menarik. Kat tangga pondok itu ada tertulis ' Untuk Pelanggan Melebihi 3 Orang'. Maksudnya kalau keluarga kita tak cukup 4 orang tak boleh naik nanti kena halau. Cikgu tak duduk kat situ, cuma ambil gambar sahaja. Malas nak panjat, sakit lutut. Cikgu bercadang nak bina dua buah pondok seperti ini untuk restoran cikgu. Kayu-kayunya cikgu dah tempah dan mungkin akan sampai minggu depan.



Berkonsepkan 'restoran dalam taman' cikgu sedang menghiasi restoran cikgu dengan berbagai tanaman hiasan. Pelanggan boleh bersantai sambil menikmati hidangan yang disediakan. Kalau tempat selesa tetapi makanan tak sedap tak ada gunanya. Jadi cikgu dan anak cikgu yang bekerja sebagai chef sedang menyenaraikan pelbagai jenis menu tempatan dan antarbangsa. Wow! harap-harap semuanya berjalan lancar, insyaallah..


Restoran akan dibina setelah semua gazebo siap. Banyak pokok cikgu dah tanam, yang akan menjadikan restoran cikgu redup dengan rimbunan daun yang menghijau. Sebenarnya sudah setahun cikgu dan semua ahli keluarga bertungkus-lumus berusaha, menjadikan impian ini satu kenyataan. Disamping itu dapat eratkan hubungan semua ahli keluarga serta menyihatkan badan.

Saturday, December 17, 2011


Anak kucing Parsi untuk dijual. Umur baru sebulan. Harganya RM650 seekor. Harga sebenarnya ialah RM800 tetapi cikgu sendiri dah kurangkan. Jadi tak perlu lagi nak tawar-menawar. Bayaran untuk 'booking' RM300.

Cukup 3 bulan lebih barulah boleh ambil. Sesiapa yang berminat boleh hubungi cikgu di talian dalam blog ini. Siapa cepat dia dapat.


Thursday, December 1, 2011

BELI KUCING DI PET SHOP

Sekadar Hiasan

Berhati-hati dengan segelintir 'pet shop' yang cuba sedaya upaya melariskan perniagaannya walaupun terpaksa bercakap bohong atau menipu. Semenjak cikgu terlibat dengan pemeliharaan kucing yang dibeli sudah banyak kali cikgu ditipu. Disebabkan cetek ilmu kita mudah terpengaruh dengan cadangan, pendapat, nasihat dan tunjuk ajar mereka ini sedangkan dalam kepala otaknya hanya memikirkan bagaimana nak mempengaruhi kita supaya membeli apa yang kita hajati. Semakin membuak-buak semangat membeli kita semakin teruk kita kena tipu. Nasihat cikgu, kalau bagaimana teruja sekalipun janganlah nampak sangat, kita kena belajar 'control' sikit keterujaan kita. Isteri dan anak-anak cikgu memang suka sungguh pada kucing, kalau nampak sahaja kucing comel dalam 'pet shop' terus terkam seperti harimau nampak kambing. Tauke kedai tu yang tadinya duk 'relax' cabut bulu hidung terus bangun. Tauke kedai sudah teruja kerana ada pelanggan yang teruja sangat.  


Majoriti 'pet shop' tidak meletakkan tanda harga pada kucing yang dipamer untuk dijual. Harganya boleh naik dan turun mengikut 'cuaca' seperti orang jual durian di tepi jalan. Disebabkan tiada tanda harga kita mudah tertipu. Tauke kedai menilai pengetahuan kita mengenai kucing sebelum meletakkan harga. Semakin banyak kita bertanya berkenaan kucing kepadanya semakin lemah kita dalam urusan jual beli. Adalah lebih baik kita bawa kawan yang tahu mengenai kucing atau buat kajian terperinci melalui bacaan buku atau internet sebelum ke 'pet shop'.


Psikologi orang berniaga ni tinggi, dia boleh menilai kita datang untuk melihat-lihat sahaja atau mahu membeli. Layanannya kepada pelanggan yang serius sudah tentulah lebih berbanding pelanggan yang hanya suka-suka. Ada tauke kedai ni yang pandai 'ayat'. Kata-katanya boleh membuatkan kita cair. Daripada sekadar suka-suka akhirnya terbeli juga. Orang kata, peniaga yang pandai batu pun dia boleh jual.


Kawan cikgu pernah beli seekor kucing parsi yang penuh dengan kurap dan mengalami cirit-birit dengan harga RM500. Selepas balik rumah disapunya ubat kurap dan diberi makan ubat cirit tetapi selepas seminggu masih tidak sembuh. Akhirnya kucing itu meninggal. Katanya, semasa roh kucing itu keluar dari badan, dia juga terlihat duitnya terbang bersama roh kucing itu. Pesanan cikgu, jangan sesekali membeli kucing yang tidak sihat atau tidak aktif kecuali jika ditawarkan dengan harga yang murah dan kita pula tahu bagaimana hendak merawat kucing yang sakit itu.


Kucing ni ada banyak jenis baka dan grednya, contohnya kucing Bengal yang digredkan sebagai F1, F2, F3 dan F4. Bukan itu sahaja baka Bengal ada banyak dan ditentukan jenisnya melalui perbezaan pola dan warna bulunya. Harganya pula bukannya murah. Cikgu pernah melihat seeorang taukey kedai menjual seekor Bengal jantan dengan harga RM6000 sedangkan Bengal itu tak ada sijil kelahiran ( pedigree ) pun.

Perbezaan Kucing Parsi Dan Kucing Siam ( Seal Point Siamese )

Orang utara sungguh berminat dengan kucing Parsi, ada yang panggil kucing siam. Sebenarnya ada yang tidak tahu yang kucing Parsi dan kucing siam itu berbeza. Disebabkan kecantikan kucing Parsi maka ramailah yang mula berminat mengunjungi  'pet shop' mencari kucing parsi. Pada pendapat cikgu, orang utara seperti cikgu mula meminati kucing baka ini selepas kewujudan internet. Banyak paparan gambar dalam laman-laman internet yang mula mempengaruhi pencinta-pencinta kucing di utara.  Sebelumnya kucing ini hanya diminati dan dimiliki oleh golongan 'elit' tertentu mungkin disebabkan harga dan kesukaran mendapatkannya. Kini, boleh dikatakan setiap 'pet shop' ada menjual kucing. Istilah 'Persian Flat Face' mulalah kedengaran dan ada juga mereka yang menyebut 'Parsi Muka Penyek'. Teringat pula cikgu kepada 'Ayam Penyek', emh.. sedap.

Persian Flat Face atau Parsi Muka Penyek

Seeorang kawan cikgu yang buka 'pet shop' di Kulim pernah mengajar cikgu bagaimana nak mengenali sama ada kucing itu 'flat atau semiflat face'. Katanya, pertama sekali perhatikan hidung kucing tersebut. Kucing 'Parsi Flat Face' (PFF) hidungnya terletak antara dua matanya.  Bentuk mukanya bulat. Mulutnya menguncup tirus ke hidung berbentuk piramid dan telinganya lebih kecil daripada kucing biasa. Bentuk badannya pendek begitu juga dengan kakinya. Tapak kakinya lebih lebar dan berbulu panjang serta lembut. Jika dipandang mukanya daripada sisi, mukanya kelihatan leper ( flat ), tidak mancung seperti kucing kampung.


Kebiasaannya seekor anak 'Persian Flat Face' dijual dengan harga tidak kurang daripada seribu ringgit. Jika anak tersebut ada 'pedigree' atau sijil kelahiran, harganya tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan boleh mencecah sehingga tiga hingga empat ribu. Oleh itu, ramai yang memilih membeli anak yang tidak ada 'pedigree' kerana harganya lebih murah. Tetapi ianya bukan jaminan yang kucing tersebut adalah baka asli ( pure breed ) dan mungkin kucing kacukan atau dikenali 'Domestic Long Hair' kerana hanya kucing yang ada 'pedigree' dikira sebagai 'pure breed'. Seseorang yang meminati kucing baka perlu mengetahui apa itu perbezaan PEDIGREE dan DOMESTIC LONG HAIR ( DLH ). Untuk mendapatkan kucing kita 'pedigree' ( sijil kelahiran ) janganlah pula kita ke Jabatan Pendaftaran Negara kerana memang tidak ada di situ. Malahan mungkin kita akan diketawakan sehingga pecah perut. Sijil kelahiran keluarkan oleh TICA atau CFA. Untuk mengetahui lebih lanjut kunjungi Kelab Kucing Malaysia - http://malaysiacatclub.com/


Ketika kita di 'pet shop' kadang-kadang letih kita dibuatnya mendengar tauke kedai asyik kempen suruh beli makanan kucing tertentu. Untuk menyakinkan kita ditunjukkan kucingnya yang gebu, montok dan lebat bulunya, kononnya diberikan makanan jenama itu. Terloponglah mulut kita mendengarnya. Siapa tidak mahu kucing kesayangan kita jadi seperti itu. Tanpa usul periksa kita pun beli. Balik rumah terus beri kucing kita makan. Malangnya makanan itu tidak serasi, kucing kita mula cirit-birit sehingga merah duburnya dan kadang-kadang sehingga berdarah. Sebenarnya tauke kedai ada sebab hendak jual sangat makanan jenama itu, ada niat lain atau 'ada udang di sebalik mee'.


Sebenarnya makanan kucing yang berjenama terkenal untung jualannya tidak banyak kerana makanan tersebut ada dikebanyakan kedai dan peniaga sukar untuk 'main harga'. Walaupun mahal pelanggan kebiasaannya sangat arif dengan harga makanan tersebut kerana telah lama menggunakannnya dan tahu di kedai manakah yang patut dibeli. Berbanding dengan makanan yang tidak berjenama atau baru berada di pasaran, makanan tersebut dijual dengan lebih murah, tujuannya ialah mencari pelanggan. Makanan tersebut mungkin ada di kedai-kedai yang tertentu sahaja. Oleh itu, peniaga boleh 'main harga' dan mendapat untung lebih.

Tidak salah mencuba makanan baru untuk kucing kita tetapi jangan dibeli dalam kuantiti yang banyak. Beri kucing kita cuba sedikit dahulu atau campur dengan makanan asal. Kucing sebenarnya pandai memilih, ia akan makan makanan yang sedap dahulu. Apapun nasihat cikgu sebelum diberi makan baca bahagian kandungan nutrisi dan kandungan zat pada pek makanan tersebut. Cikgu sebenarnya tidak berani ambil risiko dengan menukar makanan secara mendadak sebab cikgu dah 'kena'. Hampir semua kucing cikgu cirit-birit terutama yang anak-anak. Pening kepala cikgu dibuatnya. Akhirnya cikgu kembali memberi makanan asal yang telah lama cikgu guna. Makanan berjenama ini terbukti bagus walaupun sedikit mahal.

Kucing jantan dewasa yang cikgu beli ini pernah gigit tuannya.

Yang manakah lebih baik, sama ada membeli kucing dewasa atau anak kucing untuk dipelihara? Ramai pecinta kucing lebih suka memilih anak kucing untuk dipelihara berbanding kucing dewasa kerana 'kecomelannya' dan suka bermain tetapi ada juga mereka yang memilih kucing dewasa untuk dibeli. Adakah anda tahu, kucing dewasa yang dijual di 'pet shop' mungkin kucing yang bermasalah? Kucing yang dijual kepada 'pet shop' oleh pemilik asal kerana sudah tidak tahan dengan sikap buruk kucing itu. Jalan penyelesaiannya ialah dijualnya kucing itu ke 'pet shop'. Sudah tentu pemilik tersebut tidak akan menceritakan perkara yang negatif tentang kucingnya kepada tauke 'pet shop'. Sikap tidak bertanggungjawab ini akan menyebabkan orang lain akan menjadi mangsa. Contohnya, seperti kencing dan berak merata-rata, ganas dan pernah gigit orang, suka mencakar, berpenyakit, pemalas dan kuat tidur, curi makanan atas meja dan sebagainya. Ada juga kucing tersebut yang mandul atau kalau beranak, tidak mahu menyusukan anak atau tidak pandai menjaga anak.



Istilah 'boarding' atau rumah tumpangan untuk kucing juga terkenal dengan panggilan 'hotel kucing'. Di 'pet shop' ada menawarkan pekhidmatan tersebut untuk mereka yang mahu meninggalkan rumah beberapa hari. Di rumah cikgu juga ada menawarkan perkhidmatan tersebut. Jika anda hantar kucing anda ke 'pet shop' untuk 'boarding' ada beberapa perkara perlu anda perhatikan dan ambil berat. Antaranya ialah adakah disediakan pasir najis, jika disediakan pasir najis adakah dalam kuantiti yang mencukupi.  Ada 'pet shop' yang tidak menyediakan pasir najis dan dibiarkan kucing berak bebas dalam sangkar. Sudahlah begitu dicuci pula hanya sehari sekali. Apabila kita datang ambil, kita akan mendapati badan kucing kita berbau taik kucing. Lebih malang lagi tabiat berak bebas itu dibawa balik ke rumah, tidak lagi mahu berak dalam pasir najis.

Cikgu tahu cara mengajar kucing berak dalam mangkuk tandas.
Ada seeorang kawan cikgu tidak suka hantar kucing untuk 'boarding' di 'pet shop' kerana bau dalam bilik kucing tersebut terlalu busuk, kasihan kat kucing. Sebenarnya kucing adalah haiwan berdisiplin berbanding haiwan lain seluruh dunia walaupun dikalangan haiwan mamalia kerana hanya haiwan ini yang tanam najisnya. Anjing yang lebih cerdik berbanding kucing pun tidak memiliki kehebatan ini. Tabiat semulajadi ini mungkin kerana ianya tidak suka bau najisnya. Kalau ia jumpa najis kucing lain, ia akan tanam juga, hebatkan? Mungkin juga manusia belajar kaedah ini melalui kucing. Jadi jangan biarkan kucing bau najisnya kerana ia memang tidak suka. Sebenarnya semua ini adalah bukti kebesaran illahi.


Makanan yang disediakan dan berapa kali diberi makan kucing kita juga penting. Pernah berlaku pusat penjagaan kucing yang abaikan perkara tersebut dan menyebabkan berlaku kematian. Petikan daripada suratkhabar Metro :


PETALING JAYA: Sebuah pusat penjagaan haiwan ‘diserbu’ pemilik haiwan selepas mendapati haiwan peliharaan mereka yang ditinggalkan di situ dibiarkan kelaparan sehingga ada yang mati di Damansara Damai, di sini, semalam.

Dalam serbuan jam 9.30 pagi itu, beberapa pemilik haiwan yang disertai 20 sukarelawan datang menuntut haiwan peliharaan mereka yang ditinggalkan di situ sejak 27 Ogos lalu sempena cuti Aidilfitri.

Menurut seorang sukarelawan yang hanya mahu dikenali sebagai Emi, 36, mereka mendapat maklumat mengenai pusat jagaan berkenaan di laman sosial facebook selepas beberapa pemilik menyelar perbuatan pemilik pusat terbabit yang menjaga haiwan peliharaan mereka sambil lewa dan dipulangkan dalam keadaan yang teruk.

“Mereka dijanjikan dengan penjagaan rapi sedangkan selepas dihantar pulang, haiwan peliharaan mereka kurus kering dan berbau busuk.

“Oleh itu, kami mengumpulkan beberapa sukarelawan dan pemilik haiwan untuk menyiasat apa sebenarnya berlaku di pusat jagaan terbabit,” katanya.

Pengajaran yang cikgu perolehi berdasarkan pengalaman dan cerita dari kawan-kawan. Perkongsian pengalaman ini dapat membantu kita daripada dijadikan mangsa oleh segelintir tauke 'pet shop' yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata.







Wednesday, November 16, 2011

LILI DAN 8 EKOR ANAKNYA

Hari ini Lili melahirkan 8 ekor anak. Comel-comel anaknya. 5 ekor warna putih seperti bapanya Nemo dan 3 ekor warna oren sepertinya. Inilah kali pertama cikgu melihat seekor kucing melahirkan 8 ekor anak. Puting susu Lili ada 8, jadi cukuplah untuk setiap anaknya. Walaupun begitu cikgu perlu gunting bulu di bahagian perutnya untuk memudahkan anak-anaknya menetek. Bukan itu sahaja, cikgu juga perlu berikan vitamin dan makanan tambahan untuk memastikan bekalan susunya mencukupi dan berkhasiat.

Semasa proses kelahiran, cikgu dan isteri menjadi bidan. Cikgu sediakan air suam, gunting, tuala yang bersih dan antiseptik. Sebenarnya Lili pernah melahirkan anak sebelum ini tetapi dia malas nak makan uri dan tali pusat anaknya menyebabkan uri membelit semua anak-anaknya. Disebabkan kelahiran tu berlaku pada waktu malam, cikgu tak menyedarinya. Pada pagi esoknya barulah cikgu tahu dan segera cikgu gunting uri itu. Susah juga nak potong uri sebab uri dah kering. Lebih risau cikgu takut terpotong kakinya yang kecil. Nasib baik semua berjalan lancar dan tak ada yang mati. Kali ini cikgu tak mahu kejadian itu berulang. Cikgu buat persiapan awal.


Kali ini Lili makan 6 uri anak-anaknya, lagi 2 ekor dia tak makan, mungkin dah kenyang. Jadi cikgu gunting uri & tali pusat tersebut kemudian cuci dengan air suam.  Selepas itu cikgu sapukan antiseptik. Kali ini Lili dah pandai menjaga anak-anaknya. Cikgu dan isteri hanya melihat Lili menjilat anak-anaknya. Dalam hati cikgu mengharap agar semua anak-anak Lili akan hidup walaupun cikgu tahu memang sukar untuk seekor kucing menyusukan 8 ekor anaknya.

Untuk memastikan Lili selesa cikgu sediakan sebuah sangkar yang besar untuknya iaitu cantuman daripada tiga buah sangkar dijadikan satu. Sebenarnya semasa Lili mengandung ramai yang berminat nak beli anak Lili kerana anak-anaknya sebelum ini memang comel. Sebulan lagi kita akan dapat lihat anak-anaknya mula bermain-main di dalam sangkar ini, insyaallah.

Tuesday, November 8, 2011

BUANG KUCING

Semasa cikgu di sebuah kedai makan bersama Farah, cikgu terlihat seekor kucing yang sedang berbaring di atas lantai. Cikgu pasti ini adalah kucing terbuang. Walaupun begitu ia nampak sihat dan tidak seperti kucing yang kelaparan. Cikgu rasa tuan kedai ini ada berikan ia makan. Syukurlah masih ada mereka yang bersimpati kepadanya.

Budaya buang kucing ni dah jadi satu masalah besar sekarang. Merata-rata tempat kita boleh lihat kucing terbuang terutama di kedai-kedai makan. Lebih malang lagi banyak kucing yang dah mati di jalanraya kerana tidak faham dengan peraturan jalanraya. Di tempat cikgu ada kucing yang telah ditangkap, disembelih dan dijadikan makanan oleh pendatang asing dari v***** kerana kucing sememangnya makanan mereka.

Jangan hairan jika pada satu ketika dulu kita boleh lihat banyak kucing berkeliaran di pasar atau di jalanan tetapi sekarang dah banyak berkurangan mungkin telah menjadi lauk, hidangan tanpa kos. Mungkin kita jijik dengan perbuatan tersebut tetapi itu adalah kebiasaan bagi mereka dan sudah menjadi satu budaya. Mungkin kucing itu sememang lazat bagi mereka.

Pemandangan di pasar harian Beijing, kucing dikumpul untuk dijual kepada orang ramai setelah disembelih untuk dijadikan makanan. Rasanya tak sanggup kita melihat bagaimana haiwan ini disembelih kerana ianya bukanlah seperti haiwan-haiwan yang lain, haiwan ini sangat istimewa kerana sifatnya manjanya kepada manusia. Entahlah, apalah yang membuatkan manusia sanggup makan kucing sedangkan ianya telah hidup bersama manusia semenjak zaman dahulu lagi.


Dua hari lepas cikgu ke pasar malam pekan Simpang Empat, Alor Setar. Terserempak dengan dua orang pemuda yang menjual arnab dengan harga RM25 ( dalam sangkar ) dan RM75 ( atas sangkar ). Katanya arnab ini boleh dijadikan haiwan kesayangan atau untuk dimakan. Isteri cikgu dan Farah tidak melepaskan peluang mengusap bulu arnab yang kat atas sangkar tu. Cikgu sekeluarga tak mampu nak makan haiwan ini walaupun ianya halal disisi agama kerana makanan ini tidak pernah ada dalam menu harian kami. Lagipun, sifat dan bentuknya tak tumpah macam kucing.


Ada orang sanggup buang kucing di jalanan sedangkan kucing yang dia buang itu dulunya dia sangat sayang dan pernah menjadi sebahagian ahli keluarganya. Tahukah anda, kucing peliharaan memang sukar untuk meneruskan hidupnya di bandar tanpa bantuan daripada manusia kerana tidak ada haiwan atau serangga untuk diburu. Kucing dewasa lebih mudah hidup di hutan kerana terdapat banyak makanan, contohnya kucing hutan atau kucing batu ( leopard cat ) yang merupakan sejenis mamalia yang mahir dengan selok-belok hutan. Kucing hutan ni kalau dibuang kat bandar, mati kering ia. Kucing asia yang berbulu pendek lebih bijak mencari makanan sendiri berbanding kucing berbulu panjang seperti kucing Parsi yang kurang aktif.

Orang buang kucing atas beberapa sebab yang tersendiri antaranya ialah masalah :
1.    Bulu kucing bertaburan dalam rumah,
2.    Kucing berak dan kencing merata tempat.
3.    Masalah lelah atau asma berpunca daripada bulu kucing.
4.    Tuan kucing dah muflis dan tak mampu nak beli makanan atau pasir najis.
5.    Tuan kucing baru beli kucing lain yang lebih cantik.
6.    Kucing cakar perkakasan dalam rumah termasuk tuannya.
7.    Kucing menghidapi penyakit yang sukar untuk sembuh.
8.    Kucing jantan dewasa yang tidak lagi manja, kini bertukar garang.
7.    Kucing betina termengandung disebabkan angkara kucing jiran.   
10.  Kucing betina melahirkan 4 ekor anak dan semuanya anak luar nikah.


Walau apa alasan sekalipun janganlah kita buang kucing begitu sahaja kerana kucing itu akan ke rumah orang dan menjadi masalah kepada orang lain pula. Jika dibuang di kedai makan atau pasar ia akan menimbulkan kemarahan kepada peniaga-peniaga. Ada peniga yang terlalu marah hingga sanggup siram air panas di belakang kucing menyebabkan kulitnya melecur teruk. Jika nak bela kucing mesti dapat persetujuan keseluruhan ahli keluarga dan semua mesti suka kucing. Kalau suka kucing mesti suka taiknya kerana ianya memang dalam satu pakej yang kita wajib terima.


Kalau tak mahu kucing betina mengandung dan kucing jantan merayau atau kencing merata-rata boleh 'kasi' atau mandulkan ( neutering / spaying / castration ) untuk selesaikan masalah tersebut. Jakim telah pun mengeluarkan satu ketetapan ( fatwa ) pada tahun 2002, yang menyebut :
Quote
Bahawa mengembiri binatang kesayangan seperti kucing atau anjing hukumnya adalah diharuskan dengan sebab-sebab tertentu iaitu bagi menjaga muslahat ummah.

All pets like cats and dogs are allowed to be neutered or spayed in order to maintain the health and welfare of both the animals and the community.

After studying the messages of the aforementioned mazhab's and the medical viewpoint, JAKIM has decided that neutering of cats for reasons of 'maslahat' is acceptable. It is in agreement with 'qaedah' (way) Fiqhiyyah which states "To choose the lesser of two evils".

Dipetik dari FelineMalaysia.com
Jika nak buang kucing juga, adalah lebih baik anda hantar sahaja kucing anda ke pusat penjagaan sementara kucing SPCA dan anda tidak perlu menanggung dosa kerana membuang kucing atau membunuh kucing tanpa niat. Jadi di sini cikgu sertakan alamat pusat penjagaan tersebut untuk memudahkan anda berurusan dengan pihak tersebut.

SPCA Penang: Address: 10, Jalan Jeti, Jelutong, 11600 Penang. Tel: 04-2816559: Website: www.spca-penang.net: Email: spcapg@pd.jaring.my







Saturday, November 5, 2011

KEDAI KAYU TERPAKAI


Beberapa hari lepas cikgu berkunjung ke kedai kayu terpakai untuk membeli kayu untuk restoran cikgu. Banyak juga tiang kayu saiz 6 inci yang hendak dibeli sedangkan di kedai kayu tu hanya ada beberapa batang. Memang susah nak dapat kayu saiz itu, lebih susah nak cari yang panjang 15 kaki untuk dibuat pondok 2 tingkat. India tu janji nak carikan untuk cikgu. Kalau tak ada juga terpaksalah cikgu tempah di kilang kayu. Cikgu tak berapa minat tiang dari kayu baru sebab belum cukup kering. Kalau tak dijaga, lama-kelamaan ia akan membengkok semasa mengering. Dalam gambar di atas ialah tiang elektrik yang sememang dari jenis kayu keras yang tahan cuaca. Walaupun telah terdedah kepada hujan bertahun lamanya tetapi masih elok dan utuh.


Kedai kayu ni terletak berhampiran pekan Kuala Ketil. Memang banyak kayu kat sini tetapi kurang penjagaan, banyak kayu dibiarkan terdedah pada panas dan hujan. Jadi kita kena pandai pilih. Lagi satu, mesti pandai tahu jenis kayu. Kalau tidak, terbeli kayu yang jenis lembut yang mudah reput dan digemari oleh anai-anai. Kayu keras seperti Merbau dan Cengal lebih mahal berbanding kayu jenis lembut seperti Meranti atau Kelat. Kenali jenis kayu dengan melihat pada urat kayu tersebut. Kemahiran ini perlu dipelajari dari orang tua yang banyak pengalaman.